Rabu, 12 Januari 2011

INTERLOK

Novel INTERLOK karya SN Abdullah Hussain diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1971. Novel ini telah memenangi hadiah sagu hati, Peraduan Novel Sepuluh Tahun Merdeka. Sungguh ajaib, selepas 40 tahun novel ini menjadi konterversi. Jika novel ini diulang cetak, saya percaya novel ini menjadi antara yang terlaris. Mungkin ini menjadi rezeki kepada SN Abdullah Hussain.

Saya percaya dan yakin, orang yang tidak senang dengan novel ini tidak pernah membacanya. Oleh itu BACA, BACA dan BACA. Di sini saya ingin mencatatkan watak Maniam yang digambarkan dalam novel ini.

MANIAM belayar ke Pulau Pinang dari pelabuhan Nagapatam bersama-sama dengan penumpang-penumpang berbangsa Tamil. Maniam hidup susah di kampung asalnya Trichor, Kerala di Pantai Barat Selatan. Kesusahan ini menyebabkan Maniam meninggalkan isterinya, Ambika. Sampai di Pulau Pinang, Maniam bekerja sebagai kuli di pelabuhan. Hasil usaha Maniam, dia dapat mengirimkan wang kepada isterinya melalui Pillay, seorang yang kaya di daerahnya.

Maniam kemudiannya bertemu dengan Raman, orang kampungnya yang baru tiba dari India. Rahman memberitahu Maniam yang isterinya menjadi gundik Pillay. Pillay menipu Ambika kononnya Maniam tidak pernah mengirimkan wang kepadanya.

Kerana patah hati, Maniam meninggalkan Pulau Pinang dan bekerja di kebun kelapa milik orang putih di Changkat Lima. Tandil kebun kelapa tersebut, Perumal amat menyenangi Maniam. Akhirnya Perumal melamar Maniam untuk anaknya Malini yang kematian tunang. Maniam merahsiakan latar belakang dirinya. Rumah tangga mereka bahagia.

Rumah tangga mereka bergolak setelah tibanya Suppiah ke ladang itu. Suppiah memfitnah Maniam, kononnya Maniam telah meninggalkan isterinya. Maniam dipulau oleh seluruh penghuni ladang kelapa itu. Hanya Malini yang masih setia.

Maniam cedera ditembak oleh orang putih, pengurus ladang semasa Maniam mengamuk mengejar Supiah. Setelah sembuh dia diusir. Dalam perjalanan meninggalkan ladang, Maniam telah dipukul oleh orang yang tidak dikenali. Seorang Melayu, Musa telah menyelamatkan Maniam. Maniam bekerja di Changkat Janggus. Dengan pertolongan Maniam, Musa telah diterima bekerja di ladang itu. Musa merupakan orang Melayu pertama bekerja di ladang tersebut. Musa meninggalkan ladang itu untuk mengahwini Milah.

Sepeninggalan Maniam, Malini melahirkan anak lelaki, Ramakrishnan.

Supiah menjadi penolong tandil dan semakin berpengaruh. Satu hari dengan tipu helahnya, Perumal diminta menjemput seorang guru untuk mengajar di ladang tersebut. Sepeninggalan Perumal, Suppiah menodai Malini. Ketibaan Raman untuk mengajar di ladang itu telah menjelaskan kejadian yang sebenar kepada Perumal. Perumal menyesali segala-galanya. Malini pula mengandungkan anak Supiah. Supiah enggan bertanggungjawab. Akibat menanggung malu, Malini membunuh diri.

TIADA SEBAB MENGAPA NOVEL INI MENJADI KEMARAHAN. OLEH ITU BACA, BACA, BACA. JANGAN AMBIL TINDAKAN YANG MELULU, MALU DIRI SENDIRI.

Selain daripada watak Maniam, terdapt juga watak yang terdiri daripada orang-oran Melayu dan Cina. Mereka hidup dengan bersatu padu dan tolong menolong. Watak Cina dalam novel ini terdiri daripada keluarga Ching Huat, keluarga Kim Lock, Ghim Thong, Kim Sui dll. Keluarga Cina juga terdiri dari latar keluarga susah yang datang merantau ke Singapura dan seterusnya ke Semenanjug Malaysia.

Selain daripada watak Musa yang berjaya menolong Maniam, watak Melayu yang lain ialah Lazim, guru dari MPSI yang berkawan rapat dengan Yew Seng.