Rabu, 4 Mac 2009

Bahasa Melayu untuk Sains dan Matematik

Hasil kajian yang dijalankan oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 :

  1. Skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada tahun 2003 dan 519 pada tahun 1999. Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada tahun 2007 daripada 510 mata pada tahun 2003 dan 492 pada 1999.
  2. Kemerosotan pencapaian pelajar Malaysia ini adalah yang paling terbesar dikalangan 59 buah negara yang terlibat dalam kajian in.
  3. Secara perbandingan dengan negara-negara lain, peratus pelajar Malaysia yang mengalami kemersostan pencapaian sains dan matematik sangat tinggi.

Ulasan oleh Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 :

  1. Pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa keluarga / bahasa ibunda (home language) pencapaian mereka lebih tinggi dalam ujian TIMSS berbanding dengan pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bukan bahasa ibunda / bahasa kedua / bahasa asing.
  2. Wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prstasi subjek berkenaan.
  3. Kemahiran kognitif (berfikir) berkembang melalui bahasa pertama.
  4. Apabila pelajar cuba belajar matematik dan sains dalam bahasa kedua, mereka akan menggunakan kemahiran kognitif akademik yang rendah, iaitu pelajar sukar mempelajarinya.
  5. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya menggunakan bahasa ibunda dalam pelajaran sains dan matematik di sekolah seperti di Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

Berdasarkan kajian in Unesco mencadangkan:

  1. Bahasa Ibunda digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah bagi mengukuhkan kefahaman konsep kepada pelajaran.

Semua negara dalam Kesatuan Eropah menerima dasar untuk mengajar mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibnda.

Di Malaysia, pada tahun 2003, hasil kajian TIMSS 2003 mendapati pencapaian pelajar dalam matematik dan sains adalah sangat baik dan membanggakan. Sampel pelajar-pelajar pada tahun 2003 belum terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Rumusan yang diberikan adalah pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu memudahkan kebanyakan pelajar memahami / mempelajari matematik dan sains.

AMINUDDIN BAKI



Aminuddin Baki (6Januari 1926 - 25 Disember 1965) ialah "Bapa Pendidikan Malaysia" serta bekas Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan) yang paling muda ketika berusia 36 tahun. Beliau mempertingkatkan mutu pelajaran di negara ini, termasuk menyusun Dasar Pelajaran Kebangsaan melalui Laporan Pendidikan Razak pada tahun 1956, dan Laporan Abdul Rahman Talib pada tahun 1960. //

Kehidupan awal


Dilahirkan di sebuah kampung di Chemor, Perak, Aminuddin Baki memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Chemor pada tahun 1932. Selepas lulus peperiksaan darjah lima pada tahun 1936, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson yang merupakan sekolah Inggeris yang terbaik di Ipoh ketika itu. Beliau tamat persekolahan menengahnya pada tahun 1941.

Pada sekitar tahun 1945, Aminuddin Baki mula menunjukkan minat dalam persatuan pelajar. Beliau berasa amat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Institusi Victoria, Kuala Lumpur, walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudian bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Aminuddin Baki dilantik sebagai setiausaha dan kemudian, menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Perak pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, Aminuddin diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles, kini merupakan sebahagian Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Pada masa ini, UMNO yang telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union menggalakkan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar untuk berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh itu, Aminuddin Baki dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun pada tahun 1949, Aminuddin Baki terpaksa menghentikan kegiatan persatuan pelajarnya kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu, beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh. Semasa di universiti, Aminuddin Baki berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman, beliau mendaftar sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu. Beliau mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Pada tahun 1950, beliau bergiat aktif semula dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan itu. Dalam tahun yang sama, beliau lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dengan Kepujian.

Kerjaya
Selepas menamatkan pelajarannya pada tahun 1951, Aminuddin Baki kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah untuk sementara waktu dan kemudian, berkhidmat di Sekolah Anderson hingga Julai 1952. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Ratu dan meninggalkan Pulau Pinang menaiki kapal pada 12 Julai 1952. Aminuddin Baki memperoleh Ijazah Sarjana Kaedah-kaedah dalam bidang pendidikan pada bulan Julai 1953.

Selepas pulang ke tanah air, beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Beliau memperkenalkan Sejarah Islam kepada pelajar tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Abdul Rahman Talib.

Ketia berusia 36 tahun, Aminuddin Baki dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor, dan pada tahun yang sama menjadi Ketua Penasihat Pendidikan Malaysia (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pendidikan). Pada masa yang sama, beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau juga mewujudkan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Aminuddin menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963.
Aminuddin Baki meninggal dunia pada tahun 1965 ketika berusia 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang.





Selasa, 3 Mac 2009

Anjakan Bahasa Patah Balik (Anjakan BPB)

Istilah Anjakan Bahasa Patah Balik ialah terjemahan bagi reversing language shift (RLS), yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Joshua A. Fishman. Anjakan Bahasa Patah Balik ini merujuk kepada gejala kembali semula kepada bahasa yang pernah ditinggalkan. Gejala ini berlaku apabila seseorang penutur atau sesuatu komuniti bahasa yang bertutut bahasa A, beranjak kepada B, dan kembali semula kepada bahasa A.

Proses anjakan BPB ini mulai kelihatan pada komuniti-komuniti Melayu di Australia Barat dan Asutralia Timur. Ini berlaku apabila ibu bapa melihat anak-anak mereka sudah tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu, walaupun di dalam lingkungan keluarga. Sungguhpun mereka inginkan kejayaan hidup pada masa depan bagi anak cucu mereka, tetapi pada masa yang sama mereka khuatir melihat identiti Melayu keturunan mereka akan hilang. Maka mulailah mereka mengajar bahasa Melayu kepada anak cucu mereka melalui kelas-kelas yang mereka sendiri kendalikan.

Kesedaran supaya anak cucu diberi pelajaran bahasa Melayu yang lebih daripada apa yang di dapati di sekolah-sekolah, supaya akhirnya anak cucu dapat menggunakan bahasa Melayu semula sebagai orang Melayu.

Daripada apa yang sedang berlaku di Asutralia Barat dan Australia Timur, dapatlah diramalkan bahawa anjakan BPB tidak akan berlaku sepenuhnya, kerana matlamat program ini hanyalah untuk membolehkan orang Melayu di Australia tidak kehilangan warisan bahasanya.

Mungkinkah pada masa akan datang orang-orang Melayu di Malaysia akan mengadakan program Anjakan Bahasa Patah Balik kepada anak cucu mereka kerana sudah ada kenampakan unsur-unsur mengutamakan bahasa Inggeris dalam pengajaran di sekolah-sekolah?